me...

me...

Thursday, November 11, 2010

KEPINCANGAN INSTITUSI KELUARGA ISLAM....

PENGAJIAN ISLAM
(MPW 1143/2143)
Tugasan (Assignment)


NAMA :
ANNIES HUZAIMAA BINTI SAMSU KAMAL
NO MATRIK :
KJC1080004
KELAS :
PENGAJIAN ISLAM (SEKSYEN 2)
PENSYARAH :
EN. MUHD MUNIB BIN AHMAD
TARIKH :
11 November 2010
URL BLOG :
http//:sannieshuzaimaa.blogspot.com
TAJUK TUGASAN :
KERUNTUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT ISLAM SEMAKIN MERUNCING. BAGAIMANAKAH ISLAM MEMBERI PENYELESAIAN TERHADAP PERKARA INI.






Firman Allah S.W.T.
“Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”

Allah S.W.T. telah menetapkan bahawa setiap kejadian di muka bumi dijadikan secara berpasangan. Manusia dijadikan secara berpasangan agar dapat membentuk satu institusi kekeluargaan dalam masyarakat. Institusi ini dinamakan sebagai rumahtangga. Rumahtangga merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat. Rumahtangga dibentuk menerusi perkahwinan yang tertakluk kepada peraturan-peraturan tertentu yang ditetapkan dalam Islam. perkahwinan akan membentuk satu institusi keluarga kecil yang terdiri daripada suami isteri, ibu bapa dan anak-anak. Namun, kepincangan insitusi kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Islam semakin meruncing. Statistik kes-kes seperti penceraian, keganasan rumahtangga dan lain-lain yang melibatkan keluarga semakin meningkat. Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah disebabkan pembentukannya tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam. Selain daripada kurangnya asas-asas keagamaan, pasangan suami isteri pula jahil tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antara mereka, dan tanggungjawab keduanya terhadap anak-anak.

Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang menentukan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi ( Riwayat Ahmad).

Pelbagai faktor yang menyebabkan kepincangan dan kehancuran rumahtangga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam masa kini. Faktor yang pertama adalah disebabkan masalah yang timbul dalam sesebuah keluarga itu sendiri. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting pembentukan sahsiah anak-anak. Namun sekiranya tanggungjawab ibu bapa ini diabaikan maka anak-anak akan menjadi mangsa. Cabaran hidup di era globalisasi ini menyebabkan kebanyakan ibu bapa sibuk dan taksub mengejar harta duniawi sehinggakan mereka lupa dan alpa tentang tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah untuk membimbing anak-anak mereka menuju ke landasan kejayaan. Akibat terlalu sibuk dalam memenuhi tuntutan hidup, ibu bapa tidak banyak meluangkan masa dengan keluarga. Implikasinya anak-anak berasa dipinggirkan dan diketepikan. Secara tidak langsung anak-anak dengan mudah akan terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat seperti merokok, melepak dan sebagainya. Mereka melakukan semua itu untuk melupakan masalah yang berlaku dalam keluarga mereka sekali gus mendapat keseronokan dengan cara mereka sendiri. Keluarga menjadi porak-peranda disebabkan sikap ibu bapa yang lupa akan tanggungjawab mereka di dunia. Oleh itu, masalah dalam keluarga boleh menyebabkan kepincangan rumahtangga berlaku.
 
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim  : ayat 6)

            Faktor lain yang menyebabkan kepincangan dan kehancuran rumahtangga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam masa kini adalah keganasan rumah tangga. Keganasan dalam rumah tangga boleh diertikan sebagai perbuatan secara sengaja meletakkan ahli keluarga dalam ketakutan dan menyeksa mangsa secara paksaan hingga boleh mnyebabkan kecederaan dari segi mental dan fizikal. Kebiasaannya yang menjadi mangsa ialah isteri, anak-anak dan ibu bapa. Ada juga kes yang melibatkan suami. Keganasan rumahtangga melibatkan penderaan secara fizikal, mental, emosi, seksual dan spiritual. Bermula perselisihan yang kecil hingga menyebabkan perselisihan faham yang besar hingga boleh menyebabkan salah seorang menjadi hilang kawalan. Keganasan rumahtangga boleh berlaku atas beberapa sebab antaranya tiada keharmonian dan persefahaman dalam rumahtangga, latar belakanmg keluarga yang berlainan, masalah ekonomi, cemburu melampau terhadap pasangan, masalah mental dan yang penting kurangnya didikan agama. Ajaran dalam agama Islam itu sendiri telah mengingati supaya menjaga ahli keluarga dengan sempurna. Sesungguhnya institusi keluarga adalah satu institusi penting dalam keseluruhan kerangka pembinaan dan kelangsungan ummah. Umat Islam akan berdepan dengan satu masalah besar seandainya institusi penting ini tidak dikawal dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu sendiri kerana daripada institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah masyarakat.Oleh itu, keganasan rumahtangga merupakan antara penyebab kepincangan berlaku dalam rumah tangga.

            Selain itu, faktor lain yang menyebabkan kepincangan dalam rumah tangga ialah masalah ekonomi yang dihadapi oleh ahli keluarga. Kebiasaannya suami akan mencari nafkah untuk keluarga. Namun sekiranya nafkah yang dicari tidak mencukupi untuk menanggung ahli keluarga, hal ini akan menyebabkan masalah berlaku. Isteri yangt tidak memahami suami akan memberi tekanan kepada suami. Sebagai contah, isteri meminta suami membelikan sesuatu barang yang sangat mahal walaupun dia tahu suaminya tidak mampu disebabkan pendapatannya rendah. Pelbagai keperluan penting lain yang perlu disediakan oleh suami daripada memenuhi permintaan isterinya yang keterlaluan.  Perkara seperti ini boleh menyebabkan pasangan suami isteri bergaduh disebabkan isteri tidak memahami keadaan suami. Lama-kelamaan pergaduhan menjadi semakin teruk hingga boleh menyebabkan berlakunya perceraian. Anak-anak akan menjadi mangsa perceraian ibu bapa. Permasalahan lain juga boleh timbul sekiranya kedua-dua suami isteri bekerja. Mereka akan sibuk dengan urusan kerja mereka hingga kadang-kadang melupakan tanggungjawab dalam keluarga mereka. Anak-anak akan menjadi mangsa disebabkan kelalaian ibu bapa. Disebabkan terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan hinggakan anak-anak yang sepatutnya diasuh dan dibelai dengan penuh kasih sayang terabai. Permasalahan dalam institusi kekeluargaan menjadi semakin susah tuk diselesaikan. Implikasi daripada perceraian, anak-anak  memberontak dan tidak akan menghormati ibu bapa sebagai mana dikehendaki dalam Islam.

“Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik.” (Diriwayatkan oleh Ibn Majah) 

            Setiap masalah yang berlaku mesti ada jalan penyelesaiannya terutamanya dari sisi Islam. Permasalahan dalam institusi kekeluargaan masyarakat Islam masa kini sememangnya membimbangkan. Namun begitu, setiap permasalahan ada jalan penyelesaian. Bagi mengatasi masalah kepincangan dalam institusi kekeluargaan adalah dengan menganjurkan satu program ilmiah tentang institusi keluarga kepada bakal pasangan suami isteri sebelum mereka mendirikan rumahtangga. Program ini mestilah diwajibkan untuk semua bakal pasangan yang akan mendirikan rumahtangga. Program ini adalah untuk memberi satu bimbingan kepada bakal pasangan untuk menghadapi alam rumahtangga. Selain itu, program ini akan memberi penekanan kepada bakal pasangan tentang kehidupan berkeluarga berlandaskan agama Islam. Dalam sesebuah perkahwinan telah ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Sekiranya peraturan-peraturan ini tidak dipatuhi, sama ada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya pasangan suami isteri sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram. Bagi memastikan kehidupan keluarga berjalan dengan teratur dan harmoni, Islam menggariskan dengan terperinci peranan dan tanggungjawab seseorang sebagai ahli keluarga.Dengan adanya program ini, bakal pasangan suami isteri akan lebih mengetahui tentang tanggungjawab mereka dalam keluarga. Pasangan juga akan lebih bersedia dengan alam perkahwinan. Secara tidak langsung, permasalahan dalam sesebuah keluarga itu dapat dikurangkan disebabkan pasangan suami isteri telah mengetahui tentang tanggungjawab mereka dalam keluarga.

“Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Ruum : ayat 21) 

Untuk mengatasi masalah dalam sesebuah keluarga, pasangan ibu bapa itu sendiri memainkan peranan yang penting dalan mengatasi permasalahan yang berlaku dalam keluarga mereka. Kebahagiaan dalam keluarga berpunca daripada kerkesanan pendidikan yang disalurkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Jika ibu bapa memanfestasikan budi pekerti dan tata susila yang baik kepada anak-anak, nescaya sesebuah keluarga itu akan bahagia kerana mereka saling hormat menghormati dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Secara fitrah manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Jika para ibu bapa sibuk bekerja untuk mencari wang, ini akan merenggangkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Generasi muda pada zaman sekarang mejadi liar dan tidak tentu arah kerana mereka dahagakan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Remaja suka memberontak dan ini akan menyebabkan sesebuah keluarga itu menjadi porak peranda. Cara ibu bapa mengasuh anak-anak mereka juga diambil kira. Ibu bapa harus memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. Kebanyakan anak Melayu Islam kita tidak dihantar ke madrasah ataupun diberikan pendidikan agama. Masyarakat kita masih memandang remeh terhadap hal ini. Pendidikan agama merupakan satu mekanisme yang menangkis segala anasir-anasir yang kurang sihat supaya anak-anak tidak terjebak ke dalam kancah kejahatan. Justeru, pendidikan agama adalah amat penting sekali dalam menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga. Kebahagiaan sesebuah keluarga terletak kepada keberkesanan pendidikan yang diberikan ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa tidak boleh menggunakan wang untuk mencorak perwatakan anak dan ini akan membuat anak-anak menjadi naif kepada kebendaan. Kasih sayang yang tulus dan ikhlas yang datang dari lubuk hati para ibu bapa akan membuat seseorang anak itu menjadi seseorang yang berdisiplin dan berpegang teguh kepada prinsipnya.

            Langkah lain yang boleh dipraktikkan untuk mengelak daripada berlakunya masalah dalam institusi kekeluargaan adalah dengan berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Islam telah membentuk satu panduan tentang kehidupan dalam keluarga. Setiap pasngan suami isteri seharusnya memahami tanggungjawab mereka dalam keluarga. Sebagai contoh, suami mempunyai tanggungjawab untuk menjadi seorang ketua keluarga, pelindung kepada isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluaiga dan ketua unit masyarakat yang kecil , suami berkewajipan membimbing,  berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya. Pentadbiran suami di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan  belas kasihan dan memberi contoh yang baik. Tanggungjawab suami adalah penting di dalam membina sesebuah institusi kekeluargaan. Manakala, tanggungjawab seorang isteri pula menjadi pembantu kepada suami apabila suami menjadi ketua keluarga. Isteri mempunyai tanggungjawab dan tugas tertentu. Antaranya adalah mengendalikan kerja-kerja rumah. Selain itu, isteri wajib berhias untuk suami. Dalam Islam, isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika berada disampingnya. Isteri juga perlu pandai memujuk suami apabila suami berada dalam keadaan marah kerana pujik-memujuk itu penting dalam kehidupan rumahtangga. Dan yang paling penting isteri hendaklah taat kepada suami.  Isteri tidak boleh sekali-kali membelakangkan suami kerana dia ketua rumah-tangga. Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar.  Isteri hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatannya dianggap oleh Rasulullah S.A.W. sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri. Perhubungan antara suami isteri juga perlu dihormati dengan mewujudkan pergaulan yang baik dan menjauhkan segala perkara yang boleh mengeruhkan suasana dalam kehidupan rumahtangga.

            Kesimpulannya, pembentukan keluarga Islam pada abad ini dan abad yang mendatang amat mencabar bagi setiap ibu-bapa. Dasar-dasar rumah tangga yang lemah dan kepimpinan keluarga yang longgar sudah pasti akan tumpas dalam menghadapi cabaran perubahan nilai global yang mengubah kehidupan keluarga. Institusi keluarga merupakan satu institusi penting dalam keseluruhan kerangka pembinaan dan kelangsungan ummah. Umat Islam akan berdepan dengan satu masalah besar seandainya institusi penting ini tidak dikawal dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu sendiri kerana daripada institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah masyarakat. Dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga, kita sebagai masyarakat Islam dan ibu bapa harus memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita demi melihat generasi yang terbaik di masa hadapan.



           







BIBLIOGRAFI

·       1. Buku
-Mahmood Nazar Mohamed. (1993). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.

-Mahmood Nazar Mohamed. (2001). Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

-Muhd Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin. (1998). Psikologi Remaja.
Fajar Bakti Sdn. Bhd.


·       2. Artikel jurnal
-Rohana Yusof. (1996). Perlakuan Devian: Sebab Berlaku dan Kawalan Sosial
Terhadapnya. Jurnal Kebajikan Masyarakat. 19, 23-37.

-Abdullah Al-Hadi Mohamed. (1993). Faktor-faktor Keluarga dan Tingkah Laku
Penyalahgunaan Dadah: Satu Kajian Perbandingan Antara Penyelahgunaan
Dadah dan Bukan Penyalahgunaan Dadah. Journal of Science and Humanities,
Vol 1, 41-45.

3 comments:

  1. assalamualaikum. mintak halal ya entry ni. ana guna untuk assignment ana. syukron jazilan moga Allah rahmati kamu.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum , minyak halal nak guna for assigment ya , thanks ;)

    ReplyDelete